post

Kekeliruan Tentang Teater Moden dan Kontemporari di Malaysia

Kekeliruan Tentang Teater Moden dan Kontemporari di Malaysia

Bagaimana sesuatu yang dulu dianggap moden, kini sudah jadi sesuatu yang klasik? Karya-karya Ibsen, Chekhov dan Strinberg, contohnya, yang dulu dianggap moden, kini sudah boleh dikategorikan sebagai karya klasik. Kebanyakan pengkritik di Barat sudah pun mengkelaskan karya-karya mereka ini sebagai karya klasik. Usia karya-karya mereka ini sudah berusia lebih kurang 100 tahun. Jadi, kalau karya-karya mereka dianggap karya klasik, yang mana satu karya yang boleh dianggap moden? Adakah karya-karya yang lahir selepas itu seperti Bertolt Brecht atau, Samuel Beckett atau, Noel Coward atau sebagainya? Namun, karya-karya ini juga sudah ada yang menggelarkannya sebagai karya klasik.

 

Henrik Ibsen by Gustav Borgen

Henrik Ibsen by Gustav Borgen

Klasik, moden, kontemporari, avant garde dan sebagainya adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran di dalam dunia teater. Saya kira pengkelasan seperti ini juga berlaku di dalam aspek kesenian yang lain juga seperi muzik, catan, penulisan dan sebagainya.

 

Di Malaysia contohnya, karya-karya daripada Bidin Subari, Usman Awang, Syed Alwi dan seangkatan boleh dianggap sebagai sebuah karya-karya moden sewaktu awal kemunculannya. Penilaian modeniti di dalam karya-karya ini walaubagaimanapun perlu dibuat kembali untuk melayakkan aspek modeniti itu relevan dengan konteks semasa. Lantaran itu, karya-karya moden Malaysia perlu dinilai kembali dalam konteks semasa. Ada yang masih menganggap karya-karya tersebut adalah karya moden. Hal ini tidak salah. Namun, bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas itu seperti karya-karya Nordin Hassan, Hatta Azad Khan, Dinsman dan Syed Alwi? Adakah boleh disebut karya-karya mereka sebagai teater post-moden? Bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas lagi daripada Nordin Hassan dan seangkatan? Seperti karya-karya Namron, Jit Murad, Faisal Tehrani, Zakaria Arifin dan seangkatan? Adakah karya mereka kita gelarkannya sebagai avant garde? Atau post-post-moden atau sebagainya? Sudah tentu tidak.

 

Karya-karya tidak diikat dengan masa kerana modeniti melibatkan pemikiran, bukan masa. Kita boleh menandai permulaan era moden pada tarikh atau masa tertentu, tetapi modeniti di dalam karya melibatkan pemikiran. Oleh itu, sesebuah karya tidak wajar ditandai melalui masa. Modeniti berubah mengikut masa.

 

Denoting a current or recent style or trend in art, architecture, or other cultural activity marked by a significant departure from traditional styles and values. – Kamus Oxford Online

 

Maksudnya di sini, moden adalah keadaan kini atau mutakhir dalam kesenian atau arsitekstur atau kesenian lain atau gaya hidup  yang bertitik tolak terhadap penentangan gaya dan nilai tradisional.

 

Tradisional pula bermaksud sesuatu yang lama; sudah lama dalam erti kata – sudah diulang buat sehingga menjadi tradisi dan budaya. Jadi moden boleh dikatakan sebagai benda baharu yang dibuat untuk menentang benda-benda lama. Jadi, kata kunci untuk moden adalah perkara/pemikiran baharu. Dalam teater dan drama perkara/pemikiran baharu ini boleh dijumpai jika kita menganalisa pemikiran penulis  dan pengarah dengan teliti. Jadi teater moden di Malaysia tidak wajar ditandai dengan tahun atau genre. Ramai di Malaysia beranggapan teater moden adalah teater realism – yang muncul pada tahun 1960an.

Teater Bangsawan Mestika Bumi (Photo Credit: JKKN)

Teater Bangsawan Mestika Bumi (Photo Credit: JKKN)

Sebenarnya ciri-ciri moden sudah terdapat di dalam teater Bangsawan lagi. Jika sebelum ini, teater di Malaysia dipentaskan atas tujuan ritual dan keraian di Istana, Bangsawan menentang prinsip teater di Malaysia pada ketika itu dengan menjadikan teater itu dipertontonkan kepada orang awam dan dijadikan sebagai sebuah perniagaan. Bukankah itu satu bentuk penentangan terhadap gaya dan nilai tradisional. Sandiwara juga mengandungi unsur modeniti di dalamnya di mana ia menentang gaya dan bentuk teater Bangsawan dengan menghapuskan extra-turn. Teater realism pula adalah satu penentangan terhadap teater sandiwara di mana ia menentang watak dan isu yang selalu diketengahkan oleh teater sandiwara. Dan begitulah seterusnya. Jadi tidak adil jika mengatakan teater moden adalah teater realisme.

 

Perkataan post-moden ini juga adalah sesuatu yang boleh didebatkan. Heiner Muller (penulis dan pengarah teater Jerman, 1929-1995) apabila digelar sebagai seorang post-modenis, dia menafikan, meskipun karya-karyanya sudah dilihat jauh meninggalkan karya-karya sezaman dan pengkarya seangkatan.  Namun ada definisi terperinci dan perdebatan tertentu mengenai post-modernism yang mana tidak akan saya bincangkan di dalam tulisan ini.

 

Berbalik kepada teater moden, saya mahu menekankan di sini bahawa teater moden Malaysia tidak harus ditandai dengan masa, tetapi boleh dikelaskan mengikut genre atau gaya atau pemikiran naskhah. Anak Kerbau Mati Emak karya Kala Dewata pada sesetengah orang mungkin sudah masuk teks klasik, namun ada yang beranggap ia sebuah naskhah moden. Dan sudah saya terangkan – jika terjadi perdebatan ini, ia adalah kerana pemikiran yang dibawa oleh teks dan pembacanya.

 

Saya kira, hal ini juga boleh berlanjutan kepada aspek teater kontemporari. Oleh kerana perkataan kontemporari itu sendiri terikat dengan masa, adalah tidak wajar kita menandai teater Nordin Hassan, dan Hatta Azad Khan sebagai naskhah teater kontemporari. Jika naskhah-naskhah mereka adalah kontemporari, bagaimana naskhah-naskhah yang wujud mutakhir ini, naskhah yang membawa isu kontemporari seperti Parah oleh Alfian Sa’at dan MatDerihKolaPerlih oleh Namron – adakah perlu dikelaskan sebagai naskhah post-kontemporari?

Namron - Photo Credit : Rumah Anak Teater

Namron – Photo Credit : Rumah Anak Teater

Saya membaca esei tulisan Krishen Jit bertajuk Hatta Azad Khan dan Teater Kontemporari di Malaysia. Tulisan ini seolah menekankan pemahaman Krishen terhadap teater kontemporari (dengan huruf kecil ‘k’) Malaysia yang dapat dilihat melalui karya-karya Hatta Azad Khan. Hatta menggunakan teknik dan gaya-gaya mutakhir yang dianggap agak digemari oleh pengkarya lain juga di zaman penciptaan karyanya (1980an). Karya-karya Hatta dibincangkan secara terperinci dengan membandingkan karya-karya lain yang turut mengaplikasikan gaya penulisan yang hampir sama dan sedang menjadi trend pada ketika itu seperti karya-karya Dinsman, Syed Alwi dan seangkatan. Krishen turut membandingkan karya-karya Hatta dengan karya-karya semasa dari luar negara seperti Beckett (yang saya kira agak baru di Malaysia pada ketika itu.) Saya cuba mentafsir maksud kontemporari yang diunjurkan Krishen dalam konteks suasana dan zaman karya itu dihasilkan. Namun, untuk mengkelaskan karya-karya Hatta (dan yang seangkatan) sebagai teater kontemporari hanya akan menambah kekeliruan kita tentang garis masa teater di Malaysia.

 

Klasik, moden, kontemporari dan avant garde adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran. Ia langsung tidak ada kaitan dengan masa depan dan lampau. Boleh jadi, karya-karya Namron akan dianggap sebagai karya klasik pada tahun 3000. Namun untuk menandai sesebuah karya, adalah paling mudah dengan membaca pemikiran dalam naskhah – yang mana secara ironi, kerja-kerja ini bukanlah kerja mudah.

(Source: www.fasyalifadzly.com )

 

One Comment

  1. added on 18 Sep, 2017
    Reply

    Membantu pencarian

Add your review

Your email address will not be published.