15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Teater Ekonomikal

0 Comment

Diterbitkan pertama kali di laman web fasyalifadzly.com pada 11 April 2014.

Dulu, saya sering tertanya-tanya pada diri saya sendiri, mengenai bentuk teater yang menjadi trend untuk zaman pasca-millennium ini. Apakah ada bentuk atau gaya yang spesifik yang boleh kita kelaskan sebagai teater pasca-millennium? Seperti diketahui, teater di Malaysia berubah mengikut dekad. Setiap dekad, teater Malaysia membawa satu bentuk yang boleh dikelaskan dalam satu kategori. Dekad 40an dengan purbawara, 50an dengan sandiwara dan 60an dengan realism. Tahun 70an pula dikatakan membawa satu bentuk pendekatan yang lebih moden diketuai dengan Nordin Hassan yang serasi dengan surrealism. 80an pula angkatan Hatta Azad Khan dan Dinsman membawa teater absurd. Selepas itu, pada tahun 90an tidak dapat dinyatakan dengan jelas apakah bentuk teater yang dianuti oleh penggiat teater.

 Walaubagaimanapun, saya tidak mahu menyekat pandangan anda terhadap perkembangan teater Malaysia yang harus berubah mengikut dekad. Perubahan bentuk dan kandungan teater tidak seharusnya berteraskan perubahan dekad seperti yang menjadi lazim. Perubahan ini perlu bersifat natural. Saya kira, jika kita mahukan perubahan setiap dekad, penggiat teater akan tersekat dengan paksaan anjakan ini yang mahukan perubahan itu. Sebagai pemerhati dan juga penggiat teater (secara runcit), saya melihat kelaziman perubahan ini sebagai satu acara yang menarik untuk dikupas dan didebatkan. Oleh itu, saya tetap tertarik dengan pandangan para pengkritik terdahulu yang mengelaskan perkembangan teater Malaysia mengikut dekad.

Berdasarkan pengamatan saya yang cetek ini, pada dekad 90an tiada naskhah yang betul-betul mapan dan mengesankan kepada saya secara peribadi. Mungkin juga sebab saya sendiri yang lambat mengenali teater Malaysia, maka saya ketinggalan mengikuti perkembangan teater di era 90an. Lagi pula, sukar untuk menemui tulisan berkaitan teater di era 1990an. Hanya pada tahun 2000 hadir skrip Misi oleh Faisal Tehrani. Saya tidak berpeluang menonton teater ini dengan pelakon asal. Saya hanya menonton persembahan yang dilakonkan oleh pelajar dan kumpulan amatur selain membaca naskhah. Selain Misi, ada penggiat teater lain yang turut sama membawa satu bentuk dan agenda baharu dalam mementaskan teater. Salah seorang pengarah yang agak menonjol adalah Namron. Walaubagaimanapun, pada era ini agak sukar menentukan apakah pendekatan yang selesa digunapakai oleh penggiat teater dan falsafah yang didukung golongan teater pada abad ini.

Wangi Jadi Saksi by U-Wei Haji Shaari (Photo credit: http://arts4life.blogspot.my)

Wangi Jadi Saksi by U-Wei Haji Shaari (Photo credit: http://arts4life.blogspot.my)

Seterusnya, saya betul-betul terkesan dengan pementasan Wangi Jadi Saksi karya dan arahan U-Wei Shaari yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teater ini dipentaskan sekitar 2006. Selain itu, Jerjak arahan dan tulisan Syahrul Fitri Musa juga turut hadir dengan bilangan pelakon yang minimal. 

Soalan yang sama turut saya ajukan kepada pensyarah saya semasa menuntut di University of Calgary, Canada. Saya tanyakan padanya, apakah bentuk teater kontemporari Canada secara khususnya atau dunia secara amnya? Apakah ada bentuk atau ciri teater yang digunapakai oleh pengarah atau penulis untuk menghasilkan bentuk teater masa kini. Berdasarkan pengamatan beliau, teater kontemporari kini bersifat ekonomikal. Ekonomikal di sini bukan setakat dari sudut penerbitan produksinya sahaja tetapi dari segi pementasannya. Teater yang ekonomikal biasanya mempunyai kumpulan pelakon yang kecil, set yang multifungsi atau uniset dan skala produksi yang kecil. Biasanya teater sebegini juga bergerak dengan modal yang kecil atau sederhana.

 Jika ini benar bagai dikata, terbukti teater-teater Malaysia yang dipentaskan kini mengamal ciri ekonomikal seperti ini. Malah ia telah dimulai oleh teater Misi, Wangi Jadi Saksi dan seterusnya diikuti dengan Jerjak, Parah dan beberapa lagi yang turut mengamal ciri yang sama. Karya-karya yang dipentaskan di Stor Teater DBP dan Pentas 2, KLPAC (atau panggung sederhana besar) bolehlah dikelaskan dalam kategori yang sama. Biasanya digerakkan oleh penggiat teater muda seperti Playground Production, Instant Café Theatre Company, Rumah Anak Teater, Revolution Stage, Paradoks Production, MASK Team, Ayaq Hangat Studio dan banyak lagi. Dengan ruang kecil, penggiat teater muda juga menghasilkan skrip mereka sendiri dan menyedari hakikat tentang faktor ekonomi yang menghadkan saiz produksi.

Pengkarya, dari peringkat penghasilan skrip, telah melihat faktor ekonomi sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi. Penulis lebih bersifat realistik dari segi jumlah pelakon, bilangan set dan lokasi dalam skrip, kostum dan sebagainya. Mereka tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi bahawa produksi mereka akan ditaja samada oleh badan berkanun, kerajaan (melalui Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan), syarikat perniagaan atau orang perseorangan. Biasanya, dari peringkat penulisan, penulis telah melihat jauh berapa ramai pelakon yang akan menjayakan pementasan tersebut. Penulis lebih teruja untuk menampilkan watak yang betul-betul memberi makna dalam naratif.

Alfian Sa'at (Photo credit : mothership.sg)

Alfian Sa’at (Photo credit : mothership.sg)

Dalam hal ini, saya suka melihat pendekatan yang digunapakai dalam penulisan Alfian Sa’at. Bilangan watak yang ditampilkan di dalam karya berada dalam bilangan yang kecil. Parah cuma menampilkan empat watak, dan Nadirah pula cuma lima watak. Watak-watak dalam karya Alfian Sa’at juga wujud dalam dimensi yang menyeluruh. Tiada watak atau pelakon yang hanya muncul berdialog untuk tiga baris dialog atau satu muka dialog. Peranan watak-wataknya sama besar. Watak-watak dalam teater yang ekonomikal mempunyai peluang untuk berkembang sepenuhnya. Ini merupakan sebagai satu cabaran kepada penulis untuk melihat perspektif yang lebih dalam terhadap watak-watak ini dan bagaimana watak ini boleh mengembangkan naratif dan bukan sekadar watak tempelan. Semua watak-watak yang ditampilkan muncul hampir semua adegan dan kekal hingga ke akhir adegan. Watak yang ditampilkan tidak dibazirkan malah dimunculkan dalam perspektif yang berdimensi. Dibaca dari sudut ekonomi, watak ini berfungsi dengan baik dalam naratif.

Walaubagaimanapun, terdapat juga teater ekonomikal yang menampilkan banyak watak. Walaubagaimanapun, pendekatan yang digunakan berbeza untuk mengawal saiz produksi. Biasanya, penulis telah mula membayangkan bilangan pelakon yang akan membintangi teaternya. Pelakon akan melakonkan banyak watak. Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah pengarah teater Jerman, Bertolt Brecht telah lama memulakan pendekatan ini. Dalam teater-teater Nordin Hassan juga turut sama menggunakan pendekatan ini dan menjadi sebagai satu bentuk yang dikenali untuk teater tulisan beliau.

Saya pernah mementaskan Teater Juta-Juta, yang mana mengambil pendekatan seperti ini. Terdapat 12 watak semua sekali dan cuma dilakonkan oleh tiga orang pelakon. Pelakon akan bertukar-tukar watak sepanjang pementasan berlangsung. Selain saya, Aloy Paradoks turut sama menggunakan pendekatan seperti ini. Dalam teater Gadis dan Dua Menara, beliau turut menampilkan banyak watak yang cuma dilakonkan oleh empat orang pelakon sahaja. Menerusi Projek KoKen oleh Rumah Anak Teater, para pelakon juga turut memegang banyak watak dalam segmen yang berlainan. Saya yakin, ada beberapa produksi lain yang turut menggunakan pendekatan serupa.

Di sini (ketika tulisan ini ditulis, saya berada di Calgary) saya sempat menyaksikan beberapa buah teater yang mana menggunakan pendekatan yang sama. Ternyata, pendekatan ini, bukanlah sesuatu yang baharu. Penulis dan pengarah kini lebih realistik dari sudut ekonomi. Kepayahan mendapatkan modal untuk sebuah pementasan bukanlah hanya masalah di Malaysia tetapi turut dirasai oleh penggiat seluruh dunia. Dengan meletakkan pementasan teater sebagai barang komoditi, sudah tentu, mereka (para pedagang dan produser) hanya mahu mengeluarkan modal yang kecil tetapi pulangan yang lumayan. Mereka tidak mahu berbelanja besar untuk sesuatu yang tidak pasti. Disebabkan teater sudah menjadi barang komoditi, pengeluar dana tidak mahu meletakkan sebarang risiko atas modal yang dikeluarkan. 

Saya pernah beberapa kali (ketika berada di Malaysia) berkhidmat dalam produksi yang sangat bercita-cita tinggi mahu mementaskan teater skala besar setelah melihat kejayaan produksi terdahulu. Disebabkan lambakan teater skala besar yang tidak bermutu, kurang tajaan dan kurang sambutan dari segi penontonan, teater ini gagal dari sudut bisnes. Gaji pelakon dan kru tidak dibayar, malah lebih menyedihkan produser lari dari hutang dan mengambil sikap lepas tangan.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berani mengambil risiko, tetapi dengan keadaan pertumbuhan ekonomi dan sambutan teater tempatan yang baru hendak meningkat naik, skala pementasan yang begitu besar bolehlah dikatakan tidak realistik.

Antara pengarah yang dilihat mendukung semangat teater ekonomikal biasanya mementaskan teater di pentas-pentas kecil dengan kapasiti penonton tidak lebih daripada 400 tempat duduk. Antara tempat yang menjadi tumpuan, adalah Stor Teater DBP dan KLPAC. Keintiman persembahan dengan penonton dapat dirasai dalam ruang teater yang kecil ini.

Naskhah teater ekonomikal juga bersifat terbuka dari segi solusi kreativiti. Tiada mandat yang diletakkan dalam skrip dan membuka ruang kepada pengarah dan pereka produksi untuk meletakkan sebarang imej yang memberi signifikasi kepada naratif. Walaubagaimanapun, terdapat satu ciri yang jelas diamal oleh pereka produksi teater ekonomikal. Kebanyakan rekaannya adalah minimal. Rekaan Melissa Teoh (pereka set Parah, Air Con dan Nadirah) mempunyai ciri minimalistik dan ekonomikal. Dengan limitasi perabot dan beberapa bongkah pelbagai bentuk dan saiz, Melissa masih dapat menzahirkan ruang pentas dan menterjemahkan lokasi dalam skrip dengan baik. Set yang multifungsi masih dapat memberikan gambaran yang baik kepada penonton tanpa menjejaskan jalan cerita. Pendekatan seperti ini juga mengajak penonton menjangkau ruang imaginasi atau sebaliknya membias tumpuan penonton untuk menumpukan perhatian penuh kepada dialog yang menjadi asas kepada sesebuah pementasan theatre of dramatic literature. Selain Melissa Teoh, saya tidak menyedari kehadiran pereka lain yang mendukung semangat ekonomikal. Mungkin ada beberapa pereka lain yang sama realistik terhadap skala dan modal pementasan, cuma mungkin pendekatannya berbeza. Jika ada, konsep dan rekaannya tidak konsisten. Ada juga pereka yang konsisten seperti Raja Malik tetapi beliau tidak mengamal teater ekonomikal. Beliau biasanya menjadi pereka untuk teater skala besar seperti di Istana Budaya sekaligus mengeluarkan beliau dari liga teater ekonomikal.

s+s malaysia 2015

Short+Sweet 2015 (Photo credit: Short+Sweet Malaysia)

Terdapat beberapa usaha untuk meraikan teater ekonomikal ini tanpa disedari. Beberapa pertandingan dan festival menulis skrip dan pementasan drama pendek yang telah dibuat seperti Short+Sweet anjuran KLPAC, Festival Drama Pendek anjuran DBP, 10 minutes Playwriting Competition anjuran Kakiseni dan banyak lagi. Kumpulan graduan daripada ASWARA, UiTM, UM dan beberapa universiti tempatan juga bergabung mewujudkan kumpulan teater sendiri untuk mementaskan teater bajet sifar. Rumah Anak Teater adalah salah satu contoh kumpulan graduan daripada ASWARA yang tampil dengan bentuk teater ekonomikal. Menerusi Projek KoKen, mereka menjadi peneraju kepada gerakan baru graduan seni era pasca millennium yang sering mementaskan teater ekonomikal.

 Melalui penganjuran teater pendek ini juga telah melatih bukan sahaja kepada penggiat teater, tetapi kepada penonton untuk menyaksikan persembahan yang ekonomikal sifatnya. Kini, penonton lebih bersedia hadir ke pementasan skala kecil ini dan memberi penumpuan kepada naratif dan aksi lakonan berbanding aspek teknikal dan spektakular. Penonton kian terlatih meneroka ruang imaginasi visual pentas. Mereka tidak mula persoalkan tentang perincian visual pementasan tetapi meneroka ke aspek teaterikal lain yang lebih diskusif. Kadar penontonan yang semakin berkembang membuktikan bahawa mereka tidak hadir ke pementasan teater untuk menyaksikan kemewahan unsur visual tetapi lebih kepada naratif dan kelainan (atau eksperimentasi) yang diunjurkan oleh kumpulan teater ekonomikal. Saya optimis mengatakan bahawa perkembangan ini sebagai sesuatu yang baik. Penggiat dan penonton semakin realistik dengan idea masing-masing.

 Walaubagaimanapun, pengkelasan seperti ini bukanlah sesuatu yang wajar dianuti oleh penggiat teater. Para penggiat boleh bersetuju dan tidak bersetuju dalam hal ini untuk memastikan kreativiti mereka dicabar setiap hari. Tetapi secara jelas, penggiat semakin realistik dalam kerja kreatif mereka. Mereka tahu ekonomi memainkan peranan penting seiring dengan penghasilan kerja kreatif. Dalam hal ini, ada isi hati yang perlu diluah, dan ada isi perut yang perlu disuap.

Previous Post
Asia Culture Center Residency, South Korea
Next Post
How to tell if your script is good enough
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com