15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Dua Dekad Pendidikan Seni Persembahan Secara Formal di Malaysia

0 Comment

“Pembelajaran teater secara formal di peringkat tinggi di Malaysia baru bermula hanya pada awal tahun 1970-an di pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang” Hatta Azad Khan (2014)

Jika saya tidak memetik petikan ini, saya percaya anda juga boleh menggali segala maklumat mengenai sejarah pendidikan teater secara formal di Malaysia. Namun saya percaya, tidak ramai yang mengambil tahu tentang penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi seperti ini. Oleh yang demikian, dalam tulisan kali ini, saya ingin menarik perhatian pembaca sekalian hubung kait teater dan pendidikan tinggi.

Kesan daripada Rusuhan Kaum 1969, selain daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baharu oleh kerajaan pada ketika itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan turut diperkenalkan. Kedua-dua dasar ini diperkenalkan sebagai medium penyatupaduan rakyat agar jurang ekonomi dan budaya dapat dirapatkan. Yang menariknya, pada tahun yang sama USM telah menubuhkan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan membawa masuk beberapa pakar dan tenaga pengajar daripada luar negara sebagai permulaan projek akademik ini. Antara seniman yang menuntut secara formal di sini adalah seperti Hatta Azad Khan, Marion D’Cruz, Mazlan Tahir, Rosminah Tahir, Aminah Rhapor dan ramai lagi. Kebanyakan mereka ini kemudiannya menjadi pendidik di seluruh universiti di dalam negara sehingga kini.

Prof. Hatta Azad Khan (Photo credit: klikweb.dbp.my)

Prof. Hatta Azad Khan (Photo credit: klikweb.dbp.my)

Bilangan ini semakin bertambah dengan beberapa universiti dan kolej-kolej swasta yang turut menawarkan ilmu teater dan seni persembahan secara formal. Kini jumlahnya terlalu banyak dan graduan seni persembahan bukan sahaja lahir daripada universiti tempatan malah dari universiti luar negara juga. Namun, kesedaran terhadap kesenian dan kebudayaan ini agak lewat tiba di Malaysia. Jika diperhatikan kepada kadar pertumbuhan institusi seni, ia banyak lahir pada dekad ke 1990-an, 20 tahun selepas DKK diperkenalkan. Ini mungkin terjadi kerana graduan seni daripada USM kini sudah berpengalaman dan mempunyai kelayakan dari segi pengalaman dan akademik untuk mengajar di institusi terpilih. Selain itu juga, ia semacam satu tanggungjawab kolektif daripada semua institusi memainkan peranannya dalam mengembangkan kemajuan dalam bidang sains kemanusiaan terutamanya kesenian dan kebudayaan.

Adalah diingatkan bahawa pada tahun 1990-an Malaysia di bawah kepimpinan oleh Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-empat. Mahathir pada ketika itu sangat mementingkan pembangunan sains, teknologi dan ekonomi. Kita dapat lihat jelas di dalam buku tulisannya A Doctor in the House (atau dalam Bahasa Melayu bertajuk Doktor Umum) yang banyak memperkatakan tentang politik, dasar pentadbiran negara, eksplorasi bidang sains, teknologi maklumat dan ekonomi. Namun dalam buku setebal hampir seribu muka surat itu tidak langsung menulis visinya dari aspek kebudayaan dan kesenian. Kesannya kita boleh lihat semasa di era kepimpinan yang mana kebudayaan dan kesenian di Malaysia agak ketinggalan. Justeru, fungsi ini diambilalih oleh banyak institusi yang tumbuh pada ketika itu.

Antara insitusi yang dilihat sangat prominen pada ketika itu adalah Akademi Seni Kebangsaan (ASK) atau namanya kini Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). ASK pada ketika itu memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan karyawan yang kritikal terhadap seni persembahan di Malaysia. Ramai guru-guru hebat mengajar di ASK dan turut menjemput seniman seni tradisional untuk mengajar di ASK pada ketika itu. Pembelajaran seni tradisional dan moden menjadi kekuatan ASK yang mana menjadi kekuatannya sehingga kini.

Dalam bidang teater, antara karyawan hebat yang lahir adalah Namron, Norzizi Zulkifli, Rosdeen Suboh dan beberapa lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Dan mereka ini masih aktif sehingga kini. Namron kini sudah melebarkan sayapnya ke bidang perfileman, Norzizi baru sahaja menghabiskan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Australia dan kini mengajar UiTM, dan Rosdeen (kini Dr.) menjawat jawatan Ketua Pusat Pengajian Drama, Universiti Malaya. Saya suka mengambil mereka sebagai contoh kerana penglibatan mereka secara langsung dengan kegiatan seni di Malaysia. Saya juga suka menyebut mereka ini sebagai gelombang pertama pergerakan teater baharu kerana hadir dalam kelompok pertama yang lahir dalam dekad 90-an.

Lebih menarik, mereka ini meneruskan kitaran ini dengan menjadi guru kepada golongan yang seterusnya. Norzizi Zulkifli misalnya, adalah guru saya semasa saya menuntut di UiTM. Manakala Namron adalah bekas pengajar di ASK/ASWARA dan menjadi guru kepada ramai graduan ASK/ASWARA yang cemerlang seperti Amerul Affendi, Zahiril Adzim dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka inilah gelombang kedua yang hadir. Jika boleh dibuat analogi, Krishen adalah bapa kepada Namron dan Zizi dan kini menjadi datuk kepada generasi seangkatan Zahiril, Ayam Fared, Amerul dan ramai lagi yang lain.

 

ASWARA

ASWARA; dikenali dahulu sebagai Akademi Seni Kebangsaan (Photo credit: says.com)

Ini secara jelas adalah kesan secara langsung yang dapat dilihat hasil daripada kewujudan institusi-institusi seni seperti ini. Kini, saingan semakin terbuka luas apabila banyak universiti dan kolej swasta yang turut menawarkan pengajian seni pesembahan. Beberapa akademi yang mikro sifatnya seperti Akademi Teater Perak, Institusi Seni Malaysia Melaka, Yayasan Warisan Johor dan yang seangkatan dengannya memainkan peranan kecil di peringkat negeri untuk memelihara, memulihara dan mengembangkan seni persembahan. Yang terkini, Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan Sijil Kemahiran bidang Lakonan Teater yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Dengan sijil kemahiran yang diiktiraf ini menunjukkan keseriusan pihak Kementerian Sumber Manusia yang mahu mengiktirafkan seni budaya sebagai satu komponen penting dalam memajukan negara baik dari pelbagai aspek terutama aspek ekonomi. Saya dan beberapa penggiat teater yang lain telah dijemput untuk membangunkan kurikulum ini. Saya menjangkakan akan wujud lebih banyak institusi kemahiran yang menawarkan pendidikan kemahiran dalam bidang seni budaya di masa akan datang. Telah ada ura-ura beberapa kolej kecil yang fungsinya seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan dibuka yang menumpukan penawaran sijil kemahiran kreatif seni lakon teater di seluruh negara. Namun, sehingga kini, belum ada kepastian bila ia akan dibuka dan mula mengambil pelajar.

Salah satu kesan langsung daripada pendidikan formal dalam bidang kesenian dan kebudayaan adalah penumbuhan aktiviti penontonan. Penumbuhan institusi seni bukan sahaja menambah bilangan pengkarya sahaja tetapi turut menambah bilangan penonton. Seharusnya semakin ramai penonton yang celik seni datang ke acara seni persembahan. Namun, bilangan penonton ini dilihat sangat perlahan pertumbuhannya. Saya berani bertaruh dan mengatakan bahawa ada graduan teater yang sudah lebih dua tahun tidak menonton persembahan teater. Budaya ini tidak diteruskan walaupun sudah tamat belajar. Apa puncanya tidaklah dapat saya pastikan, namun ia boleh menjadi satu topik yang menarik untuk dibincangkan. Jika seluruh graduan meneruskan aktiviti penontonan teater secara aktif selepas tamat belajar, saya percaya kadar penontonan akan tumbuh dengan baik dan sekaligus berupaya mewujudkan industri seperti yang diharapkan. Namun sebaliknya berlaku; aspek penontonan dilihat tumbuh dengan perlahan dan masih gagal membentuk industri.

Kini, kebanyakan usia institusi dan fakulti seni sudah (atau hampir) berusia dua dekad. Murid yang dulu belajar kini sudah jadi tenaga pengajar, sudah menghasilkan puluhan karya, sudah menonton puluhan atau ratusan teater, sudah menjalankan perniagaan seni dan pelbagai lagi. Masing-masing menuju kematangan dan beranjak fikiran selari dengan masa. Institusi pula sudah banyak menerbitkan buku, kajian ilmiah, jurnal, esei, artikel, teori dan pelbagai lagi catatan akademia sekitar seni dan budaya.

Namun, adakah kuantiti penerbitan produksi, buku-buku dan segala ukuran bersifat nombor ini dapat mencerminkan kualiti penerbitan teater di negara ini? Setelah dua dekad berlalu, kualiti teater yang bagaimana yang dapat mencerminkan kematangan pemikiran rakyat Malaysia? Adakah seni budaya di Malaysia masih menjunjung Dasar Kebudayaan Kebangsaan atau ada aspek-aspek yang boleh dicabar selaras dengan peredaran masa. Persoalan ini saya ajukan bukanlah untuk mencari jawapan muktamad tetapi persoalan yang perlu kita lihat kembali sejajar usia pendidikan seni secara formal di Malaysia.

Khan, Hatta Azad. Teater, Filem Dan Pengurusan Seni. Kuala Lumpur: Dewan Budaya Dan Pustaka, 2014. Print.

Previous Post
Template – an artist statement
Next Post
Voices unite – The making of Setia
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com