15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Teater, Bahasa dan Isu Sekitarnya

0 Comment

Saya pernah diberitahu oleh Datin Marion D’Cruz mengenai kisah Krishen (semasa hidupnya) menerima surat layang daripada Anonymous. Tidak berapa lama Marion memberitahu saya tentang hal ini, Mark Teh pula telah memberikan saya salinan DVD temubual antara Krishen Jit dengan Kathy Rowland yang bertajuk Interrogating With Director, rakaman temubual yang dibuat pada tahun 2003. Dalam temubual ini, Krishen sendiri menjelaskan bahawa dia menerima surat ‘terbang’ mempersoalkan kredibilitinya yang melibatkan diri secara intensif dengan teater Melayu sekitar tahun 1970an. Persoalan kredibiliti ini bukanlah kepada menjurus kepada kepakaran beliau tetapi menyimpang kepada persoalan ras – yang mana ras dan ketajaman akal fikiran langsung tidak ada kena mengena dalam hal ini.

 

Terkesan dengan itu, Krishen akhirnya perlahan-lahan membawa diri membangunkan teater Inggeris yang pada ketika itu kurang memainkan peranan nasional seperti teater bahasa Melayu. Kemudian beliau menubuhkan Five Arts Centre bersama-sama dengan Chin San Sooi dan Marion D’Cruz. Sejak itu, teater berbahasa Inggeris memainkan peranan yang bersifat lebih nasionalistik. Akibat perpisahan atas dasar bahasa, teater bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di Malaysia akhirnya menelusuri jalan masing-masing. Kini, stigma teater Inggeris dan teater Melayu wujud melangkau batas bahasa. Ia kini menular membentuk komuniti tersendiri kerana kedua-dua teater ini digerakkan oleh komuniti yang berbeza.

 

Segregasi Bahasa, Segregasi Komuniti

Segregasi ini jelas dapat dilihat kini. Perkara yang paling jelas memisahkan komuniti teater Inggeris dan Melayu adalah panggung pementasan. Sementara teater bahasa Melayu memonopoli Istana Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa panggung milik badan kerajaan, teater bahasa Inggeris pula lebih selesa mementaskan di panggung-panggung persendirian di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya Live Arts (PJLA) dan beberapa lagi. Panggung-panggung ini memainkan peranan dalam membentuk komuniti teater mereka sendiri. Hal ini penting bagi panggung persendirian kerana mereka mementaskan teater bukan sekadar tanggungjawab budaya tetapi juga sebagai sebuah perniagaan. Justeru, hubungan panggung-panggung persendirian ini didasari persoalan perniagaan.

Istana Budaya (Photo credit: www.istanabudaya.com.my)

Istana Budaya (Photo credit: www.istanabudaya.com.my)

Ramai yang mengaitkan komuniti teater bahasa Inggeris adalah dari golongan elit. Mereka mampu membeli tiket dengan harga yang mahal untuk pergi menonton teater di KLPAC, DPAC dan PJLA. Manakala di panggung-panggung badan kerajaan, teater-teater mereka biasanya dihadiri oleh golongan Melayu kelas pertengahan. Tiada kajian khusus dalam menyimpulkan trend ini, namun berdasarkan pemerhatian saya sebagai penonton teater di banyak panggung sekitar Kuala Lumpur, perkara ini dapat diperhatikan dengan jelas. Justeru itu, kesan daripada segregasi bahasa telah mewujudkan segregasi kelas.

 

Namun, segregasi ini cuba dirapatkan dengan beberapa inisiatif yang dibuat oleh beberapa panggung. Yang dilihat jelas dan sangat progresif dalam menangani hal ini adalah The Actors Studio (TAS) melalui program Teater Rakyat. Teater Rakyat adalah satu slot khas untuk teater-teater yang dipentaskan di KLPAC. Di dalam laman web rasmi TAS bagaimanapun menyebut “Teater Rakyat aims to break the barrier between the arts and the people/Teater Rakyat bertujuan untuk merapatkan jurang pemisahan antara seni dan rakyat (terjemahan bahasa Melayu oleh penulis)”. Berdasarkan laman web TAS juga, terdapat banyak naskhah yang dipentaskan di bawah jenama Teater Rakyat sejak pertama kali dipentaskan pada tahun 2006. Teater-teater ini melangkau batas bahasa, genre, gaya dan budaya.

 

Penjenamaan panggung atas dasar bahasa seharusnya dihapuskan dalam seni teater. Saya percaya bahawa bahasa teater adalah emosi dan aksi. Bahasa percakapan hanyalah medium penyampaian maklumat-maklumat. Saya pernah beberapa kali menonton teater dalam bahasa yang asing semasa di dalam dan luar negara. Ketika di melanjutkan pelajaran di luar negara, saya sempat menonton beberapa teater Shakespeare yang sangat sukar saya ikuti bahasanya. Namun, berdasarkan sinopsis, lakonan, intonasi suara, aksi lakon dan aspek teaterikal yang lain, saya mampu mengikuti cerita dengan baik. Saya juga pernah menonton teater boneka-fizikal di Prague menggunakan bahasa Czech. Walaupun gagal memahami butir percakapan namun, saya masih dapat mengikuti cerita kerana aspek-aspek teaterikal yang membantu terutamanya emosi dan aksi.

 

Ketika di Kuala Lumpur juga saya sempat menyaksikan dua buat teater dalam bahasa Mandarin iaitu Chronology on Death di DPAC dan 1984: Here and Now di Emperial College Kajang. Disebabkan saya gagal mengikuti butir dialog, saya hanya mengikuti emosi dan aksi yang sangat mudah dikesan melalui intonasi dan pergerakan pelakon. Bahasa emosi dan aksi ini lebih universal sifatnya. Malah di kehidupan seharian kita pun, kita mudah mengesan seseorang yang sedang dalam kemurungan tanpa dia perlu cakap yang dia sedang dalam kemurungan. Bahasa-bahasa ini lebih universal dan melangkau batas budaya dan geografi.

 

Secara jelas, dengan menghadiri teater dengan bahasa tertentu menemukan komuniti-komuniti tertentu. Sukar bagi kita sebagai penonton untuk meruntuhkan tembok segregasi ini kerana kita sering mengharapkan pembinaan makna berdasarkan kata-kata. Namun dalam teater, makna boleh dibina dari banyak hal seperti sinografi, aksi lakon dan juga kualiti muzik merangkumi intonasi, projeksi dan ritma suara oleh pelakon.

Chronology On Death (Photo credit: TimeOut KL)

Chronology On Death (Photo credit: TimeOut KL)

Bahasa dalam Teater Bahasa Melayu

Saya pernah ditanya oleh beberapa penulis lain yang mahu menulis drama pentas tentang bagaimana mahu menulis skrip teater. Seperti kebanyakan penulis, saya tiada jawapan yang tepat. Namun apa yang saya boleh katakan adalah, tulislah skrip seperti perbualan seharian antara dua manusia biasa. Saya juga menghadapai masalah yang sama apabila mula-mula menulis skrip teater. Apakah gaya bahasa yang saya perlu gunakan? Adakah gaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau gaya yang lebih santai?

 

Saya yakin, persoalan ini bukan persoalan biasa diajukan kepada diri penulis muda. Adakah dengan menulis drama bukan dengan gaya DBP akan mencemarkan bahasa? Nah, saya ada pendirian saya untuk ini.

 

Bahasa Melayu gaya DBP bukanlah gaya bahasa yang wajib kita ikuti – ia cuma satu gaya dan pilihan sahaja. Gaya ini boleh dicabar dan sudah pun dicabar sebenarnya – terima kasih kepada sub-budaya indie yang mencabar banyak hal dan aturan konvensional. Jika dilihat sub-budaya indie khususnya penerbitan buku yang sudah pun mencabar gaya bahasa Melayu aturan DBP. Banyak hal-hal yang dicabar bukan setakat hal penerbitan sahaja tetapi gaya penulisan, pemilihan perkataan dan gaya bahasa yang lebih santai. Bahasa Melayu lebih vernakular, mudah difahami dan mengikut lenggok percakapan harian. Ia lebih realistik dan praktikal berbanding konvensional DBP. Namun sudah tentu, gaya bahasa ini tidak disenangi oleh beberapa pihak. Gaya bahasa yang tidak diiktiraf ini kemudiannya digelar sebagai bahasa Melayu rendah. Hirarki bahasa secara tiba-tiba telah wujud akibat perselisihan ini.

 

Penggunaan bahasa Melayu vernakular telah dahulu dimulakan oleh beberapa penggiat teater yang lebih senior seperti Namron dan Ridza Minhat. Mereka telah muncul dengan teater-teater dengan bahasa Melayu vernakular atau kolokial (colloquial) sebelum sub-budaya indie menular di negara ini. Penggunaan bahasa yang bercampur (Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan sebagainya) dan penggunaan slanga daerah dilihat semakin mendapat tempat di kalangan penulis-penulis muda yang mahu mencabar bahasa di dalam teater-teater kontemporari. Penggunaan bahasa vernakular yang mampu memaparkan aspek persembahan yang lebih realistik juga merupakan salah satu percubaan untuk mencabar realiti sosial yang lebih kontemporari.

 

Dalam satu temubual Alfian Sa’at (seorang penulis daripada Singapura) dengan Ken Takiguchi, Alfian sendiri mengakui bahawa drama pentas Malaysia ditulis dengan bahasa sastera Melayu. Alfian yang pernah menghasilkan Parah menyatakan:

“[…] however, my plays can be counter-hegemonic. This is because they are mostly written in the everyday vernacular whereas a lot of plays that are accorded high status in Malaysia tend to be written in more literary Malay.”

 

“[…] walaubagaimanapun, karya-karya saya boleh dianggap sebagai bertentangan dengan budaya hegemoni. Ini kerana karya-karya saya kebanyakannya ditulis dengan gaya vernakular seharian yang mana kebanyakan karya-karya yang dianggap berstatus tinggi di Malaysia dikarang dengan gaya sastera Melayu.” (terjemahan bahasa Melayu oleh penulis)

 

Penyataan Alfian ini jelas menunjukkan gaya penulisan drama Melayu yang dianggap bermutu di Malaysia mengekalkan ciri penulisan sastera Melayu. Dalam hal ini, tidak keterlaluan boleh disimpulkan bahawa DBP memainkan peranan ini samada secara sedar atau tidak dalam membentuk gaya penulisan “high status”. DBP menerusi sayembara yang diadakan saban tahun merupakan platform terbesar penulisan drama pentas dan sastera Melayu. Karya-karya yang sering digunakan dalam kajian di kebanyakan sekolah dan fakulti teater di dalam negara ini juga menggunakan gaya sastera Melayu. Karya-karya tulisan Nordin Hassan, Hatta Azad Khan, Dinsman dan Johan Jaaffar menjadi bahan rujukan penting di peringkat universiti. Karya-karya dengan penggunaan bahasa vernakular seolah dipinggirkan kerana bahasa vernakular tidak mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara ini.

Parah (Photo Credit: Instant Cafe Theatre Company)

Parah (Photo Credit: Instant Cafe Theatre Company)

Namun, untuk menuduh DBP menolak sepenuhnya penggunaan bahasa Melayu vernakular adalah tidak tepat sama sekali. Pada tahun 2012, Aloy Paradoks seorang penulis, penerbit buku-buku indie dan pemilik penerbitan Selut Press telah memenangi Sayembara Penulisan Skrip Pendek DBP dengan karya bertajuk Neoromantik. Penggunaan bahasa yang lebih santai digunakan selain membawa isu percintaan golongan remaja masa kini dengan perspektif yang lebih segar. Saya yakin ada juga penulis lain yang telah mencabar penggunaan gaya bahasa dalam drama Melayu. Saat Omar sebagai contoh secara terang-terang melalui drama Langgam Merdeka membawa persoalan bahasa. Namun, gaya vernakular ini seolah tidak mendapat tempat yang baik dan seolah-olah terus berada di hirarki yang bawah.

 

Namun, seperti yang saya jelaskan tadi, hal-hal ini perlulah dicabar supaya bahasa di dalam teater tidak hanya fokus kepada bahasa dialog dan pertuturan semata-mata. Sebagai contoh, isu bahasa dalam filem telah dibangkitkan oleh ramai pengamal filem baru-baru ini. Isu, idea dan dasar telah dicabar oleh pengamal filem untuk mencari identiti Malaysia yang kontemporari. Seharusnya teater juga perlu respon terhadap isu ini bagi mengisi tanggungjawab untuk melakar Malaysia yang lebih kontemporari dan progresif.

 

Bahasa dalam teater perlu dicabar bukan kerana semata-mata untuk menentang dan melawan tetapi untuk menerbitkan persoalan baru yang perlu wujud. Seni, bak kata Aristotle adalah sebuah peniruan kehidupan, perlu dicabar; realiti perlu dicabar dari perspektif yang lebih holistik. Isu dan dilema segregasi bahasa dalam teater bukan sahaja wujud di antara bahasa Melayu dengan bahasa lain tetapi di dalam bahasa Melayu itu juga. Hal ini bukan sesuatu yang asing dan tabu untuk diperkatakan. Penulis skrip perlu lebih progresif dalam mendepani cabaran ini. Namun, saya tetap menegaskan dan percaya bahawa perkataan-perkataan hanyalah medium penyampaian maklumat dalam drama dan bahasa utama teater adalah aksi dan emosi.

 


Alfian Sa’at. “Nationalism, Language and History: Politics of Writing in Singapore.” Japan Foundation Asia Center. Japan Foundation, 21 June 2016. Web. 21 Oct. 2016. (http://jfac.jp/en/culture/features/asiahundred09/)

Previous Post
The DeVos Institute Fellowship for Arts Managers, USA
Next Post
Musical Theatre melting pot – Can one class fit all?
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com