post

Rasukan Seni Pascamoden Jejas Industri Seni Tampak?

Rasukan Seni Pascamoden Jejas Industri Seni Tampak?

Pada zaman rasukan seni pascamoden ini, sesetengah golongan artis ternyata tidak perlu lagi bergantung kepada komoditi atau pasaran untuk ‘menjual’ karya mereka dan seterusnya bergaya dengan wang yang banyak hasil kerja jerih perih. Hanya hasilkan karya yang provokatif saja mampu menaikkan nama mereka. Menjadi popular seperti ‘rock star’.

Bermula dengan seni Pop, iaitu memberi penekanan kepada objek-objek popular pada ketika itu, dan material-material urban kegilaan masyarakat dipaparkan dalam seni, maka Seni itu sendiri telah diangkat ‘popular’. Ironisnya.

Persoalan tentang kualiti artistik berbanding populariti artis dalam konteks sosial telah pun diperkatakan oleh Hauser. Artis yang lebih menjual pada falsafah dan pemikiran beliau, tetapi karya seni itu sendiri dibiarkan lompang dan telanjang.

Contohnya Damien Hirst dengan karya-karya beliau yang dikatakan ‘sampah’ oleh para Stuckist, tapi dengan karya itu mampu menjulang nama beliau dan seterusnya diangkat khalayak.

Salah seorang artis muda, Alina Abdullah berkata, imej ‘rock star’ seseorang artis ini adakalanya berupaya untuk mengangkat juga darjat seni dengan imej disenangi khalayak, tapi mampukah populariti ini kekal tekal?
Seharusnya bukan sahaja melihat pada diri artis itu tetapi karya itu sendiri dan penerimaan dalam khalayak. Bukankah telah berkali dilaung Barthes, the author is dead?

Alina merupakan salah seorang daripada 42 artis yang menyumbang karya mereka dalam pameran lukisan “Seni Muda / Young Art” di RA Fine Arts Gallery.

Pameran yang dirasmikan oleh peguam hak asasi manusia muda, Amer Hamzah Arshad itu akan berlangsung di galeri tersebut di Jalan Tun Razak bermula 24 Disember 2009 sehingga 5 Januari 2010.

Di dalam ucapannya, Amer menegaskan mengenai lukisan sebagai salah satu platform untuk berekspressi dan merupakan hak asasi setiap insan.

Seni ialah sebahagian daripada hak asasi manusia tidak mengira latarbelakang; kepercayaan, bangsa, keturunan dan budaya.

artist-as-a-rockstar

Artist as a rockstar oleh Alina Abdullah, Bitumen dan akrilik atas kanvas, 2009

Menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, setiap daripada kita bebas untuk berfikir mengenai apa yang kita fikirkan patut untuk diketengahkan. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya. Setiap daripada kita juga bebas untuk berkongsi ide-ide tersebut dengan yang lain sungguhpun mereka itu daripada Negara asing (artikel 19).

Sungguhpun hak untuk kebebasan bersuara kekal sebagai suatu yang imperatif, ia menjadi suatu yang sama penting yang perlu diambilkira terutama sekali dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Lukisan dan arca adalah sebahagian daripada cabang seni yang secara nalurinya juga memberi lapangan kepada artis untuk meluahkan isi hati mereka.

Seni melingkungi pemikiran, tubuh, nyawa, kapasiti intelek, emosi gerak hati; yang mana keseluruhannya penting sebelum sesebuah hasil kerja disiapkan – pemikiran menjadi factor kritikal yang mempengaruhi potensi.

“Namun kita berada di dalam keadaan kemungkiran mental di mana ia mengganggu artis dalam menggunakan pemikiran, tubuh dan nyawa lantas gagal untuk untuk menterjemahkannya melalui kapasiti yang ada, “ kata Amer dalam ucapan perasmiannya.

Di dalam pameran ini, artis-artis menampilkan gaya masing-masing yang jelas mempunyai mesej-mesej tertentu yang disampaikan.

Salah seorangnya ialah Husni Osman yang mendapat ilham daripada pelbagai versi risalah skim cepat kaya yang bertaburan di dalam peti surat rumah beliau. Lalu beliau menanya dirinya sendiri, “masakan sesiapa boleh jadi kaya dengan bergoyang kaki sahaja?.”

Lukisannya yang lain juga menceritakanpPandangan seorang pendatang tanpa izin Indonesia mengenai isu ‘Ganyang Malaysia’ baru-baru ini melalui lukisannya, SimPATI.

Artis Mohd Khairul Izham pula berkata memandangkan manusia sekarang sanggup berbuat apa sahaja demi wang, beliau telah menghasilkan sebuah lukisan berjudul ‘Hidden Beneath the Mask’.

Melalui lukisan tersebut Izham berkata orang sanggup berbunuhan untuk mendapat jutaan ringgit, sanggup menconteng wajahmereka sendiri dengan senyuman keji. Mereka juga sanggup berpura-pura tidak bersalah dengan memakan rasuah.

~

Faisal Mustaffa

Photo credit: Skim Firaun oleh Husni Osman, akrilic, bitumen, enamel atas kanvas, 2009


This article was first posted on the original Arteri site on 30 December 2009.

No Comments

Add your review

Your email address will not be published.