15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Nota daripada editor: ARTERI itu apa?

0 Comment

The danger in trying to do good is that the mind comes to confuse the intent of goodness with the act of doing things well.”

img_0115

Februari tahun ini (9 bulan lepas! Masa itu tetamu yang terlalu pantas berangkat, begitu juga duit) saya bermakan malam dengan Simon di warung Tanjung Puteri, Sri Hartamas. Sudah berkali-kali kami berborak sia-sia pasal kemungkinan sebuah blog yang menelitikan seni tempatan dan negara jiran di ASEAN (khususnya seni visual atau tampak, kerana aku seorang artis, dia kurator). ‘Alangkah baiknya, we should really do it’, etc.

Saya baru pulang dari Yangon, Myanmar, setelah menyertai Beyond Pressure International Performance Art Festival di sana. Pengalaman itu meninggalkan kesan yang mendalam pada saya – terutamanya tentang ertinya melangkahkan tindakan (action) dalam keadaan yang rumit malah berbahaya. Ruang yang hadir hanya sempit, namun rongga tetap dikorek juga. Dari lubang itu, kami mimpikan lapangan. Praktis teman-teman artis di Myanmar mengajar saya bahawa kepastian tidak penting bagi melakukan sesuatu, kerana ia sebenarnya tidak wujud dalam hidup kita.

img_0141

Maka pada malam itu, ‘harus buat’ berubah menjadi ‘terus buat je lah’. Nama ARTERI itu sumbangan seorang ex-housemate sempena sesi minum bir. URL didaftarkan. Software muat turun percuma daripada WordPress dan install sendiri. Tidak lama kemudian, Eva menyertai dan menjadikan kami bertiga.

Sembilan bulan bukan masa yang panjang, dan kami belum begitu jauh dari pangkal jalan! Sesungguhnya, titik permulaan tidak wujud ketunggalan. ARTERI mempunyai sekurang-kurangnya tiga, barangkali lebih daripada itu. Apakah itu ARTERI? Titik-titik yang berganda itu memerikan sebuah garis, yang tergambarkan… ARTERI itu satu usaha.

img_0136

Setiap usaha bermula dengan niat, diikuti dengan pemberian nama. Nama yang tepat mampu mengukuhkan niat yang kurang pasti, dan sebaliknya. ‘The art scene in Malaysia is small’ kerap dikatakan oleh para penggiat seni tempatan. Namun, ini setakat ‘scene’ yang kita ketahui. Saya sedang membaca buku karya Ursula le Guin yang mengisahkan sebuah hutan sihir:

“How far does the forest go?”

“As far as the mind goes.”

img_0159

Banyak, terlalu banyak yang belum ditulis, diramal dan disuarakan. Kita belum ketahui betapa luasnya rimba seni ini. Maklumlah niat dan juga nama ARTERI lahir daripada ketidakpastian. Maka segala tindakan kami disertai oleh semangat tidak tahu, tetapi ingin tahu. Izinkan saya nyatakan dengan jelas: ARTERI bukan Kakiseni versi 2.0, bukan kingmaker bahkan tastemaker, bukan wakil ‘apakah penting dalam seni dan budaya’ bagi mata dunia atau sesiapa pun.

Kami bukan semua itu, kerana sebab yang simple: kami kurang layak dan kurang mampu berbuat demikian.

img_0162

Apakah cabaran yang dihadapi oleh para penggiat seni pada masa kini? Bagaimanakah cabaran-cabaran itu ditangani, dan adakah kerumitan ini dicerminkan dalam karya pencipta? Apakah sebenarnya teknik lithografi, mengimpal besi, membatik, mencatat grafiti dan sebagainya? Apalagi video, media baru, computer game, Facebook, podcast, dunia digital, ruang, politik, sosial, mental, fizikal, masa, agama, bahasa, kerajaan, pendidikan, kebebasan? Sebab apakah para kolektor mengumpul karya? Falsafah manakah yang dibawa para pemilik galeri komersial? Berapa jutakah nilai keseluruhan ‘ekonomi kreatif’ kita ini? Nilai seni dan budaya itu apa? Bulan depan bagaimana nak bayar sewa, cari makan? Jalan manakah yang akan membolehkan ARTERI terus hidup dan berkembang? Kenapa? Apa? Bila? Mengapa? Bagaimana? Mana? Siapa?

img_0175

Saya tidak tahu, tetapi ingin tahu.

ARTERI itu satu usaha. Adakah ia satu usaha yang penting, yang bernilai? Bagaimanakah kami boleh menjadikan ia satu usaha bersama? Bagaimanakah ‘kami’ dapat berubah menjadi ‘kita’?

Saya tidak tahu, tetapi ingin tahu. Beritahulah saya.

(SC)

~

✝ Sedutan cerita pendek The Finder, karya Ursula Le Guin, dalam koleksi bertajuk Tales From Earthsea.

Images of Shiraoi forest and Shikotsu Toya national park in Hokkaido were taken during my residency in Sapporo from May – July 2009.


This article was first posted on the original Arteri site on 2 November 2009.

Previous Post
Pudu Jail Conservation Statement
Next Post
Note from the Editors: ARTERI Re-Blog