15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Kenapa Menonton/Bikin Teater?

0 Comment

Pada 8 November 2016 yang lalu, saya baru sahaja mementaskan sebuah teater bertajuk Plastik Hitam di Institut Integriti Malaysia (IIM) di bawah arahan Syahrul Fithri Musa. Pementasan teater ini dibuat sebagai salah satu inisiatif murni pihak IIM mendekati orang awam sambil menyampaikan mesej integriti. Pendekatan kreatif yang julung kali diadakan oleh IIM ini merupakan satu percubaan yang berani yang harus diberi pujian.

Barisan pelakon dan tenaga kerja teater 1 Plastik Hitam yang dipersembahkan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka. (Photo Source: daydeck86.blogspot.my)

Barisan pelakon dan tenaga kerja teater 1 Plastik Hitam yang dipersembahkan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka. (Photo Source: daydeck86.blogspot.my)

Plastik Hitam pernah dipentaskan sebanyak dua kali sebelum ini di bawah pengarah yang sama. Saya memegang watak Lelaki Perkasa untuk pementasan kedua di Stor Teater DBP dan ketiga yang dibuat di IIM. Untuk pementasan di IIM, Syahrul telah mengolah skrip ini dengan bantuan pegawai daripada IIM supaya ia mencapai matlamat yang dikehendaki oleh IIM. Selesai pementasan terdapat sesi ringkas diskusi mengenai naskhah dan pementasan yang dipengerusikan oleh seorang pegawai IIM dan panelnya terdiri daripada Syahrul Fithri Musa, Lenny Deenerwan yang turut berlakon memegang watak Perempuan Berpurdah dan saya sendiri. Walaubagaimanapun, tulisan ini tidak akan mengulas mengenai produksi tersebut. Saya cuma tertarik dengan persoalan mengapa kita bikin teater. Kenapa kita menonton teater? Kenapa kita mahu penonton datang ke panggung menonton teater yang kita bikin?

 

Apabila Thespis naik ke atas pentas ribuan tahun yang lalu, apakah yang dia harapkan daripada penonton? Adakah dia mahu penonton berhibur dengan lakonannya? Atau mahu penonton mendapat mesej yang diutarakan? Atau mahu penonton berfikir? Atau dia naik atas tujuan ritual? Atau dia tidak fikir itu semua, dia hanya ingin naik ke atas pentas dan berlakon. Saya pun tidak tahu tapi kita boleh membuat pelbagai anggapan. Dan saya kira walau apa pun tujuan pertama Thespis naik ke atas pentas, tujuan itu pasti berubah dan berbeza dengan tujuan pelakon naik ke atas pentas sekarang.

 

Teater Menyampaikan Mesej

Ada sesetengah penggiat merasakan teater adalah medan untuk menyampaikan mesej. Mesej-mesej ini disampaikan dengan pelbagai cara samada dalam bentuk penulisan dan penceritaan yang berbentuk didaktik, gaya lakonan yang mendidik dan mempunyai pengajaran moral yang pekat. Penggiat merasakan unsur-unsur pengajaran adalah elemen terpenting di dalam pementasan lantas menjadikan teater sebagai satu medium untuk mendidik masyarakat. Lantas pementasan-pementasan sebegini menjadi acuan yang biasa kita temui dalam kebanyakan teater di Malaysia. Pementasan yang sangat didaktik, penuh mesej dan memberi pengajaran seringkali menjadi pegangan pembikin teater. Akhirnya si Jahat menyesali perbuatannya, si Baik akhirnya berjaya mengharungi semua halangan dan berjaya, yang baik dibalas baik, jahat dibalas jahat. Ini seolah menjadi resepi turun temurun daripada zaman teater tradisional di Malaysia.

 

Ada juga penonton yang hadir mengharapkan mesej-mesej berguna ini disampaikan dalam pementasan teater. Penonton yang mencari ‘cahaya’ dalam ruang gelap ini seolah-olah bersetuju bahawa fungsi teater yang mendidik adalah penting untuk pembinaan moral dan jati diri. Justeru itu, teater-teater yang lebih struktural – yang jelas pemaparan jahat-baik, yang jelas dan kontras nilai moralnya lebih memberi kesan dan mendapat sambutan oleh mereka yang mengharapkan pemurnian moral.

 

Namun, hal ini tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada penonton. Gaya penceritaan yang membawa nilai moral yang pekat ini telah dibawa oleh pengarang dan pembuat teater terdahulu. Namun, dalam naskhah-naskhah epik Ramayana juga turut menekankan aspek poetic justice – buat baik dibalas baik, jahat dibalas jahat. Lantaran itu, ia seolah-olah menjadi sebahagian budaya yang dituntut dalam penontonan teater khasnya kita masyarakat Timur.

 

Namun dalam mendepani dunia yang penuh pancaroba, teater punya fungsi lain selain mendidik. Bak kata Yasmin Ahmad, jika dia mahu menghantar mesej, dia hanya perlu hantar SMS – ia lebih murah dan praktikal berbanding menggunakan filem untuk menghantar mesej. Begitu juga dengan teater. Dengan usia yang masih muda, teater jadi tempat untuk saya (secara peribadi) bersoal-soal tentang realiti.

 

Realiti mana yang benar?

Ada yang menjadikan teater sebagai satu ruang yang ideal. Hukuman baik-jahat, hitam-putih, baik-buruk tidak menjadi persoalan penting. Moraliti sudahpun mati. Ia bukan menjadi tanggungjawab secara kolektif tetapi ia menjadi tanggungjawab individu. Teater-teater sebegini jarang sekali menekankan aspek moral dalam persembahan. Namun, hal ini tidak menjadikan teater ini tidak layak untuk ditonton. Walaupun tidak menekankan aspek moral, ia juga perlu diberikan perhatian kerana ia mengemukakan soalan-soalan baharu yang mencabar realiti.

 

Kebanyakan teater yang inventif sifatnya lebih terampil dalam mencabar realiti. Namun perhatian tidak seharusnya tertumpu kepada teater yang begitu sahaja. Di sini ingin saya mengemukakan dua perspektif yang berbeza yang berlaku dalam situasi ini. Pertama, rata-rata penggiat muda suka mencabar realiti (atau kebiasaan) dengan mengemukakan dan bermain dengan konsep dan idea yang dianggap ‘segar’ oleh mereka. Lantaran itu, teater-teater yang ingin dipersembahkan hanyalah sebuah persembahan visual sehingga menenggelamkan komunikasi emosi dan intelek yang menjadi sebahagian elemen penting dalam seni persembahan. Aspek-aspek visual (sinografi dan juga lakonan) yang melampau hanyalah satu kleptokrasi terhadap idea utama. Ia seolah-olah mengalih pandangan penonton daripada melihat kepada idea utama.

 

Pengarah muda biasanya suka bereksperimentasi dengan aspek kekaguman pentas. Disebabkan terlalu bereksperimentasi, mereka sesuka hati menggodeh-godeh idea penulis dan akhirnya menghapuskan idea penulis. Pengarah muda biasanya terlupa (atau tidak sedar langsung) bahawa di dalam teater, penulis dianggap sebagai dewa dan menjadi tanggungjawab pengarah untuk membawa idea penulis. Adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab jika pengarah gagal membawa idea penulis dengan baik. Dalam hal ini, pengarah muda yang mencabar realiti bukanlah mencabar realiti kolektif tetapi atas sekadar mencabar ego artistik. Isu ini seharusnya boleh dibincangkan dalam satu esei khas fokus kepada keegoan artistik.

 

Yang kedua adalah penggiat teater yang mencabar realiti dengan mengemukakan soalan dengan lebih berhati-hati. Mereka lebih gemar bertanyakan soalan atau gemar mengacah penonton supaya bertanyakan soalan – semasa menonton dan juga selepas pementasan. Mereka, pembikin teater walaubagaimanapun, tidak mengemukakan jawapan di atas pentas dan membiarkan jawapan-jawapan itu terjawab kemudiannya oleh penonton. Ini menjadikan ruang teater menjadi ruang yang ideal. Penulis atau pengarah biasanya menjadikan teater ini lebih terbuka dan membuka ruang debat kepada sesiapa yang menontonnya. Penilaian moral dikembalikan kepada penonton yang kini lebih bijak menilai moraliti. Penilaian jahat-baik, hitam-putih, baik-buruk tidak ditampilkan secara kontras oleh pembikin sekaligus membenarkan watak-watak yang ditulis berkembang dengan baik. Struktur binari diruntuhkan dan menjadikan kesan menonton teater beranjak hingga ke luar dewan. Teater bukan sekadar penyampaian emosi semata tetapi sudah beranjak ke ruang yang berintelek.

 

Jadi yang mana satu?

Jawapan ini tidak perlulah kita jawab sekarang. Malah saya punya jawapan yang berbeza-beza dari dulu sehingga kini. Soalan ini adalah soalan yang perlu difikir-fikirkan setiap hari. Jawapan ini berubah-ubah jika kita selalu menonton pelbagai teater, mengamati dunia dari perspektif yang berbeza, membaca buku bermutu, menonton filem bermutu, terlibat dalam aktiviti sosial yang bermanfaat, mengambil tahu keadaan politik dalam dan luar negara, bergaul dengan ramai orang, terlibat dalam dialog-dialog yang bermanfaat dan banyak lagi.

 

Realiti sebenar berada dan hidup di luar pentas. Maka pembuat dan penonton teater perlu hidup dalam realiti untuk mencabar realiti. Panggung pada akhirnya hanyalah ruang gelap yang kita duduki sambil mengharapkan cahaya datang menyuluhi pandangan, hati dan minda kita.


Main Photo Source : http://www.akulahpaklan.com/

Previous Post
Before the mic: Do’s and don’ts for performers at an open mic night (part 1)
Next Post
Cadangan2 kepada para graduan baru
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com