15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Dilema Pengarah Muda

0 Comment

Dengan kewujudan banyak institusi seni di dalam negara, ia menyumbang kepada kelahiran banyak karyawan-karyawan muda. Institusi seni sudah tentu memainkan peranan ini dalam membentuk dan membekalkan tenaga kreatif. Bidang teater tidak terkecuali. Namun, saya yakin hanya sebilangan sahaja pelajar yang masuk ke IPT dalam bidang teater mahu menjadi pengarah sebelum memulakan kuliah pertama. Rata-rata pelajar jurusan teater fikir mereka akan menjadi pelakon. Terima kasih kepada guru-guru teater yang akhirnya menyedarkan pelajar-pelajar jurusan teater bahawa bidang pekerjaan mereka tidak terhad kepada lakonan dan dunia glamor sahaja.

 

Bila bercakap tentang pengarahan, umum di Malaysia akan mengaitkan dengan kerja-kerja pengarahan filem. Hal ini tidak dapat disanggah kerana ikon pengarah tersohor dan terkenal negara ditandai dengan P.Ramlee. Maka itu, apabila sebut pengarah, umum akan mengaitkan dengan pengarah filem. Namun sehingga kini, apabila ditanya dengan orang yang tidak terdedah dengan dunia seni seluruhnya, mereka akan menjangkakan semua pelajar yang mahu menjadi pengarah akan menjadi seperti Razak Mohaideen atau Mamat Khalid atau Ahmad Idham. Pada mereka orang seperti inilah pengarah. Mungkin media sensasi lebih memaparkan mereka sebagai pengarah lantas memberikan idea secara general bahawa mereka adalah contoh pengarah yang wujud di Malaysia. Saya juga kerap kali ditanya dengan soalan yang sama ketika masih belajar dahulu. Apabila sebut sahaja mahu menjadi pengarah, nama-nama inilah yang akan meniti di bibir saudara mara dan rakan-rakan di kampung.

 

Sebelum saya memulakan tulisan ini dengan lebih lanjut, eloklah saya terangkan dahulu siapa itu pengarah muda. Pengarah muda adalah mereka yang baru-baru hendak melakukan kerja-kerja pengarahan. Dalam tulisan ini saya lebih fokus kepada pengarahan pentas. Biasanya, kerja-kerja pengarahan mereka masih boleh dikira dengan jari. Mereka juga adalah golongan amatur yang masih mencari-cari gayanya dan sering bermain-main dengan idea yang pelbagai. Rata-rata penggiat teater muda mendapat pendidikan formal dalam bidang teater. Mereka ini terdedah dengan pelbagai teori dan tokoh yang mereka kenali semasa dalam pengajian. Ada juga di antara mereka yang bernasib baik mempelajari daripada adiguru atau tokoh hidup seniman di Malaysia. Di ASWARA misalnya, ramai tokoh seni yang mengajar di situ. Begitu juga di UiTM dan sebagainya.

 

Pengarah muda tidak tertakluk kepada umur. Namun kemudaannya boleh diukur dengan kematangannya menangani idea. Ada juga pengarah yang sudah berumur tetapi masih muda dalam pengalaman menangani idea dari perspektif pengarahan.

 

“Adik Dengan Idea Banyak-banyak Ni Nak Ke Mana?”

Sebagai seorang pengarah muda, mereka gemar bermain-main dengan idea yang bermacam-macam. Kadang kala semua idea yang mereka ada mahu ditonjolkan kerana menganggap pengarah yang baik mampu mempamerkan idea yang banyak. Pengarah muda berdepan dengan dilema untuk memilih idea terbaik yang harus diangkat atau yang mahu dieksperimenkan. Sebagai contoh, dalam sesebuah naskhah yang baik, sudah tentu banyak perspektif yang dapat dilihat. Drama Mayat oleh Hatta Azad Khan, walaupun premis ceritanya mudah, ia antara karya yang dapat dilihat daripada pelbagai perspektif dan lapis makna.

Photo Credit : ZFAEL STUDIO

Pementasan Teater Mayat (Photo Credit : ZFAEL STUDIO)

Bagi pengarah muda yang punya banyak idea, sudah tentu banyak idea yang mahu dimasukkan dalam drama ini. Segala kemungkinan yang mereka nampak dalam karya ini mahu ditonjolkan sehingga menyebabkan drama ini tidak punya fokus yang jelas. Idea-idea tidak dipilih dan disatukan. Ia wujud dalam ruang berbeza menyebabkan sukar bagi kita sebagai penonton untuk wujud di dalam dunia yang dicipta oleh pengarah. Eksperimentasi yang tidak terarah dan tidak bertujuan juga menjejaskan arah tuju produksi. Antara eksperimentasi yang gemar dilakukan oleh pengarah muda adalah lakonan fizikal dan aspek visual. Eksperimentasi ini dibuat tanpa mempunyai justifikasi yang jelas dan masih gagal mengangkat idea penulis. Apa yang mereka percaya, eksperimentasi perlulah ‘lain’. Namun dalam usaha mencari kelainan ini mereka kelihatan tidak mengetahui penentangan atau eksperimentasi yang dibuat untuk menonjolkan kelainan. Mereka sekadar terinspirasi atau kagum dengan kerja-kerja pengarah terdahulu yang dilihat (kini mereka mudah menjumpainya di Internet) dan meniru di dalam karya-karya mereka tanpa menganalisa konteks bagaimana ia terjadi. Dan ini membawa kepada dilemma yang kedua.

 

“Saya Nak Buat Teater Macam Idola Saya”

Pengarah muda gemar mengidolakan pengarah-pengarah terdahulu. Mereka akan cuba membuat dan meniru apa yang pernah dibuat oleh pengarah idola mereka. Namun pemahaman ini adalah sekadar yang dibuat melalui persembahan semata-mata. Pengarah muda jarang bersoal siasat mengapa pengarah idola mereka mengambil sesetengah keputusan artistik yang dibuat terhadap produksi tersebut. Jika pengarah muda menyelidik perjalanan artistik seseorang pengarah idola mereka, mereka akan tentunya lebih memahami bagaimana sesuatu keputusan artistik itu dibuat. Mengkaji pemikiran pengarah idola adalah sesuatu yang tidak berlaku bagi pengarah-pengarah muda. Mereka mahu mencari jalan mudah dan singkat dalam mementaskan teater dan sekadar meniru kesan visual yang diunjurkan pengarah terdahulu.

 

Dalam dunia tanpa sempadan, sudah tentu banyak contoh-contoh persembahan menarik yang mudah didapati di Internet. Mereka dengan mudah mampu meniru dan mengaplikasikan kesan visual yang sama di dalam persembahan mereka. Namun, peniruan ini tidak membawa isi pemikiran yang sama kerana hubungan bentuk dan pengisian (form and context) tidak wujud bersama. Pengarah mapan biasanya membina bentuk persembahan tertentu berdasarkan pengisian naskhah atau sebaliknya – yang mana kedua-dua unsur ini iaitu bentuk dan pengisian tidak boleh dipisahkan. Apabila pengarah muda mahu mengambil salah satu sahaja unsur ini daripada pengarah terdahulu, ia tentu gagal membawa makna yang lebih besar.

 

Penguasaan Kosa Kata Dan Kosa Aksi

Pengarah muda tentu tidak banyak kosa yang dia miliki. Jika menilai seorang pengarang atau penulis yang baik, sudah tentu dia memiliki kosa kata yang luas. Perbendahaaran katanya yang luas mengakibatkan seseorang penulis mampu memanipulasi kata-kata menjadi lebih baik. Begitu juga pengarah. Dilema seorang pengarah muda tentunya diakibatkan kurangnya kosa atau perbendaharaan kata dan aksi. Kosa ini ibarat perpustakaan yang mampu menyimpan banyak hal-hal yang dikutip melalui aktiviti penontonan, pemerhatian terhadap alam dan pengalaman masa lalu.

 

Namun dengan usia yang sedikit, kemewahan perbendahaaran dan kosa pengarahan ini boleh ditingkatkan dengan mendekati buku-buku dan bahan bacaan yang baik, hadir ke diskusi ilmu teater atau sekurang-kurangnya berdiskusi tentangnya dengan rakan-rakan lain. Kepercayaan mitos yang mengatakan seniman tidak perlu membaca dan percaya pada bakat sepenuhnya mungkin perlu dikikis oleh karyawan muda zaman millennial. Kemajuan ilmu dari seluruh dunia boleh dicari dengan mendekatkan diri dengan buku-buku yang baik. Buku The Empty Space oleh Peter Brook contohnya adalah buku yang perlu dibaca oleh setiap pelajar teater. Atau sekurang-kurangnya membaca tulisan-tulisan Krishen Jit yang pernah diterbitkan dalam beberapa buku – atau penulis-penulis lain. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ada pelajar teater yang tidak pernah langsung membaca tulisan Krishen yang dianggap Bapa Teater Moden Malaysia. Penggiat teater di Malaysia yang tidak pernah membaca tulisan tentang teater Malaysia seharusnya bertaubat daripada membuat teater. Walaupun kenyataan ini keras, namun ia sesuatu yang perlu diucapkan.

 

Disebabkan malas membaca jugalah, pengarah-pengarah muda tidak ada idea bagaimana mahu mengawal idea-idea mereka yang liar. Kesemuanya bertempiaran lari di atas pentas tanpa ada kawalan. Ada juga yang dengan penuh ego membunuh idea-idea penulis. Mereka tidak tahu tentang kepengarangan atau authorship dalam teater dan semudahnya membunuh idea-idea penulis kerana merasakan idea mereka lebih baik daripada penulis.

 

Jadi, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Saya langsung tidak percaya bahawa kemahiran seni adalah kerana bakat 100%. Seni boleh dipelajari dan bukan anugerah. Begitu juga dengan seni pengarahan pentas. Dilema-dilema pengarah muda ini juga saya kutip daripada pengalaman saya sendiri. Sayalah orangnya yang dulu terlalu suka meletakkan semua idea dalam satu persembahan. Sayalah orangnya yang dulu terlalu mengidolakan seseorang pengarah dan mahu meniru gaya mereka. Sayalah orangnya yang dulu tidak membaca buku, kurang mengutip pengalaman dan tumpul pemerhatian. Namun atas kesedaran kendiri, saya merasakan saya perlu melakukan sesuatu untuk mematangkan pendirian artistik saya. Saya belum cukup veteran dan tidak terlalu muda untuk tidak memberikan nasihat.

 

Seperti anak muda yang menuju kedewasaan, zaman mencari jati diri adalah zaman yang sukar. Ketika inilah kita buat beribu-ribu kesilapan yang akhirnya mendewasakan. Namun, untuk terus berada di persimpangan dilema bukanlah yang kita mahukan. Pengarah muda perlu memikirkan tentang kematangan dan berfikir dan menangani idea. Mungkin di dalam usia yang lebih muda, pengarah muda boleh berfikir dengan matang. Bayangkan jika di usia yang sangat muda seorang pengarah mampu menghasilkan karya yang bagus dan matang, dia punya masa dan peluang yang lebih banyak untuk menghasilkan karya-karya bermutu.

Previous Post
Ready? Set: Do’s and don’ts for performers at an open mic night (part 2)
Next Post
And the winners are…
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com