15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Selamat datang 2017

0 Comment

Semua orang merasakan 2016 adalah tahun yang agak kejam. Ramai orang-orang hebat telah pergi meninggalkan kita. Saya sendiri telah kehilangan ayah yang menjadi sumber inspirasi saya sebagai seorang seniman. Namun, hidup perlu terus. 2017 pastinya akan menjanjikan lebih banyak senyuman. Saya merasakan teater Malaysia juga bakal berubah pada tahun ini. Untuk tahun 2016, anda boleh baca artikel yang dikarang oleh Richard Chua dalam laman web ini. Richard Chua mencadangkan lebih diskusi mengenai seni persembahan di Malaysia, namun mempersoalkan tentang siapa yang akan memulakannya. Saya tidak mahu menjawab persoalan beliau tetapi ingin menarik perhatian anda tentang beberapa perkara yang boleh anda berikan perhatian pada tahun 2017.

Tahun 2017, melihatkan penambahan ruang pementasan baru untuk penggiat teater kecil-kecilan. Pada bulan November 2016, Markas KD kendalian Fazleena Hishamuddin memulakan operasinya di Kota Damansara. Dengan setup pentas yang minimal, Markas KD bakal menajdi ruang pementasan baharu untuk penggiat teater kecil-kecilan. Ruang ini bukan sahaja menawarkan ruang untuk pementasan teater tetapi juga sebagai ruang acara lain seperti diskusi, tayangan filem dan banyak lagi.

Markas Kota Damansara

Tahun ini juga bakal menyaksikan kemunculan kembali Stor Teater DBP. Saya sempat melepasi Dewan Bahasa dan Pustaka beberapa minggu lepas dan melihat bangunan lama DBP sudah hampir siap. Saya jangka Stor Teater DBP akan memulakan operasinya pada tahun ini juga. Ruang ini menjadi pilihan ramai penggiat teater kecil-kecilan mementaskan teater di sini. Dengan kadar sewa yang murah, Stor Teater juga menjadi pilihan kerana ruangnya yang agak strategik. Namun, kemunculan Stor Teater DBP pada tahun ini agak berlainan berbanding sebelum ini. Jika dulu, Stor Teater tidak mempunyai saingan. Ia merupakan satu-satunya ruang pementasan dengan kapasiti penonton lebih kurang 100 orang. Kini, ruang pementasan seperti ini yang agak intimasi, sudah banyak. Stor Teater perlu bersaing dengan Bilik Sempit Revolution Stage, Teater Ruang Tamu STEFANI dan juga Markas KD. Ruang-ruang baharu ini yang letaknya di kawasan kejiranan dan residensi lebih akrab dengan penonton. Adakah Stor Teater DBP yang letaknya jauh di pusat bandar akan tetap menjadi pilihan penggiat teater kecil-kecilan?

Stor Teater DBP

Tahun ini juga menyaksikan bagaimana kumpulan teater yang baharu akan kekal bertahan dan menawarkan pementasan-pementasan yang lebih baik. Threesixty Theatre Company, Tocatta Studio, Anomalist Production dan banyak lagi seperti telah memberikan landskap teater yang menarik pada tahun 2016 walaupun mereka telah wujud beberapa tahun sebelum ini. Menariknya, pada tahun 2016, kumpulan-kumpulan ini telah pun berjaya mementaskan beberapa buah teater dan meletakkan nama mereka pada podium konsistensi. Jika mereka konsisten pada tahun 2017 dan komited dalam menerbitkan teater, ia tentunya akan memberikan saingan yang baik kepada kumpulan dan kompeni yang lebih senior seperti Instant Cafe, Masakini dan beberapa lagi.

Kita juga menerima kembali kepulangan pengarah-pengarah wanita yang disegani juga seperti Norzizi Zulkifli dan Lenny Erwan yang pulang daripada melanjutkan pengajian dalam bidang teater di peringkat PhD. Kepulangan mereka bukan sahaja dinanti kerana kerinduan kita terhadap karya-karya mereka tetapi juga membawa balik ilmu tentang teater yang pastinya memberi nilai tambah kepada institusi tempat mereka berkhidmat. Malah pada bulan Februari 2017 nanti, Norzizi Zulkifli akan mementaskan Throne of Thorns di ASWARA. Produksi ini bukanlah calang-calang produksi kerana dibarisi oleh tenaga kreatif yang cukup mapan. Hamzah Tahir (pereka set), A.Aris Kadir (koreografer), Bayu Utomo Radjikin (pereka kostum) dan Azizul Zahid Jamal aka Toemoe (pereka lampu) akan menjadi tenaga kreatif. Pementasan yang asalnya dipersembahkan sebagai projek akhir Norzizi semasa pengajiannya dibawa ke Malaysia dan dilakonkan oleh ensemble daripada Wollongong University, Australia.

Selain kumpulan-kumpulan baharu dan lama yang masih komited mementaskan teater, ada juga beberapa kumpulan dan kompeni yang bergerak agak perlahan pada tahun 2016. Kita tentunya merindui Playground Production, Mask Team, Paradoks Production, Ayaq Hangat, Rumah Anak Teater dan yang seangkatan dalam mementaskan teater-teater gaya mereka. Mereka seolah-olah punya ‘signature’ tertentu yang merubah landskap teater 2010an. Sumbangan kumpulan-kumpulan ini tentunya memberi kesan kepada pergerakan teater kini terutamanya landskap teater bahasa Melayu. Persoalannya, adakah kumpulan-kumpulan ini akan kembali mementaskan teater lagi pada tahun ini? Saya pasti ramai yang merindui sentuhan dan gaya pementasan yang telah diunjurkan oleh kumpulan teater ini serta isu yang dibawakan melalui pementasan yang mereka buat.

Saban tahun juga, kita menunggu apakah insentif yang bakal diberikan oleh kerajaan/majlis perbandaran/agensi dan badan-badan berkaitan untuk memajukan atau sekurang-kurangnya membantu aktiviti teater di Malaysia. Apakah akan ada geran/dana seni untuk diagihkan kepada penggiat teater yang bersungguh-sungguh mementaskan teater? Antara inisiatif yang masih wujud pun, dan sering diperkatakan adalah Festival Teater Malaysia. Namun penganjurannya saban tahun semakin merosot dari segi penyertaan dan juga kualiti persembahan. Saya gusar dengan penggunaan perkataan festival yang seolah-olah ia sebagai satu acara yang sangat besar, gah dan penuh berprestij. Namun ia hanya sekadar nama. Saiz penganjurannya semakin mengecil, kualiti persembahan juga semakin merosot. Bagaimana pula dengan kalender pementasan di panggung tersohor negara? Akankah ada perubahan dari segi kualiti persembahan? Adakah panggung  tersohor negara akhirnya tergerak hati untuk membuka satu panggung dengan kapasiti sederhana untuk pementasan skala sederhana? Atau sekurang-kurangnya mengubah salah satu studio menjadi black box bagi menggalakkan pementasan teater skala kecil. Atau  kerajaan/majlis perbandaran/agensi dan badan-badan berkaitan sudah mahu melepaskan peranan membantu ini kepada pihak lain? Atau pada tahun 2017, panggung  tersohor negara masih tiada strategi untuk menarik perhatian dan memenangi hati penggiat dan kumpulan teater sederhana?

Saya kira, untuk tahun 2017, kita tidak perlu lagi bergantung kepada sesiapa untuk menentukan hala tuju teater Malaysia. Hal-hal bantuan yang tidak sampai, penajaan yang tidak begitu menggalakkan, kemerosotan bilangan penonton dan sebagainya tidak perlu lagi menjadi hal-hal yang dibincangkan lagi pada tahun ini. Setelah saban tahun persoalan ini muncul dan saban tahun juga ia gagal menemui jawapan kepada masalah ini. Adakah kita masih mahu menjadi Vladimir dan Estragon yang setia menunggu Godot. Jika kita mahu kekal dalam absurditi tersebut, maka teruslah mengeluh tentang penonton, dana dan penajaan. Jika tidak, kita harus terus bergerak, berangkat bersama masa meninggalkan masalah lalu dan dalam masa yang sama kita sama-sama cuba menjawab soalan yang diajukan oleh Richard Chua.

Selamat datang 2017.

Previous Post
How to grow a creative company
Next Post
Guiding and strengthening the residency wave – an interview with Eliza Roberts (part 2)
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com