15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://www.arteri.com.my 300 true

Isu dan Permasalahan Kumpulan Teater Kecil dan Muda di Kuala Lumpur.

0 Comment
Jika anda mengikuti tulisan saya atau pun mengikuti perkembangan teater-teater di Kuala Lumpur lewat kebelakangan ini, sudah tentu anda mengetahui tentang perkembangan dalam kegiatan pementasan teater yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan muda dan kecil. Perkembangan ini dirasai sekitar awal dekad 2010an di mana ramai para graduan seni persembahan mencari ruang dan peluang mengembangkan bakat seninya bukan setakat di dalam kamus malah di pentas-pentas lain sekitar Kuala Lumpur. Ada yang bergerak sebagai kumpulan, kolektif dan juga individu. Pergerakan mereka ini agak bebas dan tidak langsung dinaungi oleh mana-mana badan atau organisasi teratur. Cara mereka bergerak ini agak sinonim dengan sub-budaya indie yang dipinjam daripada kegiatan perfileman, muzik dan buku.
 
Pelbagai nama diberikan kepada mereka; indie, underground, alternatif dan sebagainya. Namun antara ciri yang jelas adalah mereka bergerak dengan modal kecil dan kebanyakan mereka digerakkan oleh penggiat muda dan graduan universiti. Ada penggiat yang berusia dan berumur turut menumpang dan meminjam gelaran ini dalam kumpulannya. Namun, semangat indie ini tetap lebih rapat dengan orang muda.
 
Sehingga hari ini, sudah banyak produksi-produksi yang bergerak dengan model baharu ini. Model ini sudah tentu memberi kesan terhadap bentuk dan isi (form and content) persembahan yang disajikan. Indie bukan sahaja gaya hidup tetapi telah menyerap kepada bagaimana sesebuah pemikiran sesebuah naskhah dan persembahan. Bagi yang hanya mencedok budaya indie ke dalam persembahan, kita dapat merasai bahawa pementasan mereka sekadar kosmetik. Naskhah-naskhah mereka masih tidak bebas. Dalam erti kata lain, persoalan-persoalan naskhah masih mempersoal dan berlegar di ruang lingkup yang lama dan sama. Walaupun ada yang berani bercakap mengenai hal-hal tabu, tapi ia disampaikan dengan nada yang membosankan. Persoalan seks, gender dan politik, antara yang digemari, hanya menjadi alat kosmetik bagi menggambarkan pemikiran yang bebas. Namun, kita secara sedar mengetahui bahawa masih ada lagi hal-hal yang terperangkap dan membelenggu pemikiran penulis atau pengarah.
 
Namun, punca utama permasalahan ini juga adalah daripada kerja kraf seorang penulis itu sendiri. Rata-rata penggiat teater muda dan kecil kurang pengalaman dan pendedahan terhadap penulisan yang bagus. Disebabkan usia mereka yang muda dan juga pendedahan yang kurang, mereka tidak terdedah dengan penulisan-penulisan skrip yang baik. Akses terhadap skrip yang baik juga tidak besar. Kebanyakan karya-karya yang diketahui adalah daripada proses pembelajaran di universiti, internet, koleksi persendirian senior, guru dan mentor mereka. Pendedahan terhadap naskhah-naskhah kontemporari kurang diberi pendedahan sekaligus menjadikan mereka ini masih bercakap tentang hal-hal lama. Di Malaysia sendiri, kegiatan penulisan skrip drama pentas dilihat tidak mendapat sambutan dan kurang diberi perhatian. Pelajar-pelajar di universiti, masih membincangkan karya-karya yang telah dibincangkan oleh Mana Sikana dan Krishen Jit – yang mana kebanyakan karya-karya ini diterbitkan sebelum era millenial. Perbincangan terhadap pengkarya-perkarya baharu tidak mendapat tempat yang sepatutnya dan sekaligus memberi kesan terhadap penulisan karya-karya baharu.
 
Dalam kebanjiran kumpulan-kumpulan ini juga turut memberi kesan terhadap kadar pementasan teater di Kuala Lumpur. Jumlah pementasan teater indie ini boleh dikatakan meningkat. Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada sahaja pementasan yang berlangsung. Namun, dalam banyak-banyak pementasan ini, kualiti pementasan ini boleh dipertikaikan. Bukan sahaja dari segi penulisan naskhah, namun kepada aspek lakonan dan kualiti pengarahan. Saya tidak mahu menyentuh aspek rekaan kerana pada dasarnya mereka bergerak tanpa modal dan tidak menekankan aspek sinografi dalam pementasan ini. Kualiti pementasan teater-teater sedemikian tidak semuanya bagus. Banyak yang dibikin dengan cincai dalam masa yang singkat. Ada sesetengah penggiat yang hanya mengadakan sesi rehearsal selama kurang daripada tiga minggu untuk pementasan durasi 60 minit. Kemudian dalam keadaan separuh masak pementasan ini dipersembahkan kepada penonton dengan mengenakan harga tiket yang tidak berpatutan.
Iya, betul. Peter Brook ada menulis Immediate Theatre dan Rough Theatre. Tapi ia bukan bermaksud sesebuah teater itu perlu dipentaskan dengan tergesa-gesa dan tidak sempurna. Immediate dan Rough Theatre dibuat kerana keperluan penggiat untuk respon terhadap persekitarannya. Walaupun ada satu gesa, sebagai pengkarya, mereka masih perlu meniliti keseniannya supaya dapat memberi nilai tambah kepada perspektif baharu terhadap isu atau perkara yang cuba disampaikan melalui karyanya. Namun, apabila berbalik kepada teater-teater segera yang dipentaskan ini, ia seolah-olah menggunakan lesen daripada Brook untuk mementaskan teater secara kerap tanpa memperhalusi pemikirannya yang kemudiannya berbalik kepada permasalahan utama yang Brook nyatakan iaitu The Deadly Theatre.
 

Teater-teater segera daripada penggiat teater indielah yang akhirnya akan memusnahkan iklim teater. Hal ini melibatkan dan menjurus kepada permasalahan seterusnya iaitu penerbitan teater-teater indie. Isu utama dalam hal penerbitan ini adalah kekurangan perancangan yang teratur. Jika kita lihat bagaimana teater-teater besar mampu bertahan adalah kerana perancangan yang teratur. KLPAC atau The Actor Studio misalnya punya perancangan tahunan. Kebiasaannya, mereka akan mengumumkan pementasan-pementasan yang akan berlangsung sepanjang tahun tersebut. Di Malaysia, tidak banyak kompeni teater yang berbuat demikian. Di negara yang wujud industri teater, mereka akan mengumumkan teater-teater yang bakal dipentaskan pada setiap permulaan musim luruh iaitu sekitar bulan September. Beberapa pementasan akan berlangsung sehingga akhir musim bunga (sekitar bulan Mei) bergantung kepada saiz kompeni tersebut. Pada musim panas pula, akan berlangsunglah festival, bengkel teater, kongres dan segala aktiviti yang melibatkan komuniti. Perancangan untuk permulaan musim baharu juga diperhalusi sebelum mereka mengumumkan lagi perancangan musim baharu.

 
Namun, situasi ini tidak berlaku di Malaysia. Perancangan seperti ini tidak wujud. Kita, sebagai penonton tidak tertunggu-tunggu pun aturcara tahunan sesetengah kompeni teater. Ini mungkin mereka lebih terdedah dengan hal-hal kreatif tetapi tidak mengambil tahu hal-hal perniagaan. Kebanyakan penggiat teater-teater indie, kurang kemahiran dalam perniagaan atau showbiz. Perkara ini bukanlah salah mereka kerana kebanyakan mereka bermula sebagai seorang pengkarya. Sudah tentu mereka tidak punya kemahiran perniagaan. Disebabkan tiada perancangan yang rapi, ia mengakibatkan perniagaan teater mereka menjadi seperti  kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada pementasan, ada gaji. Kitaran ini yang akhirnya akan membuatkan kegiatan berteater itu satu kegiatan yang kaku seperti yang disarankan Brook dalam bab The Deadly Theatre dalam buku The Empty Space.
 
Selain program-program kreatif seperti bengkel lakonan, penulisan dan pengarahan, teater di Malaysia memerlukan bengkel atau kelas penerbitan teater untuk membolehkan wujudnya industri. Pendedahan terhadap kerja-kerja penerbitan perlu diberikan penekanan sewajarnya. Saya pasti ramai di antara penggiat teater masih tidak tahu bagaimana mahu menulis dan memohon geran seni dengan baik. Masih ada yang tidak mengambil tahu tentang intensif cukai, polisi-polisi seni budaya yang dapat memberi manfaat terhadap kegiatan seni mereka dan banyak lagi. Jika benar, mereka memandang seni teater sebagai bisnes, pendedahan terhadap kerja-kerja penerbitan perlu ditekankan. Ilmu-ilmu penerbitan perlu disampaikan supaya kita bukan sahaja berupaya menghasilkan pengkarya tetapi orang yang bertanggungjawab menjual karya tersebut. Jika tidak, saya pasti teater kita yang sedang meningkat naik ini akan kekal statik atau lebih teruk, mati semula.
 
 
______________________________________________________________________________________________________________________________
 
Previous Post
Join ARTERI’s line-up of performing arts gurus!
Next Post
5 things you don’t know about…Na’a Murad
Fasyali Fadzly
Fasyali Fadzly

Fasyali Fadzly merupakan seorang penulis dan pengarah teater skala kecil yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater ASWARA. Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Teater peringkat sarjana di University of Calgary, Canada. Selain pernah mementaskan teater di dalam negara, beliau turut pernah mementaskan teater di Canada dan Republik Czech. Di waktu senggang, beliau gemar menghabiskan masa dengan melukis, menonton teater dan filem bermutu. Disebabkan mudah lupa, beliau turut menulis untuk mengingatkan dirinya di laman web fasyalifadzly.com